Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

PORT DICKSON – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) meminta 68,317 pengundi kawasan Parlimen Port Dickson keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil esok.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, berdasarkan daftar pemilih pada suku kedua 2018\ yang dikemaskii sehingga 11 September 2018, jumlah pemilih yang layak untuk mengundi biasa adalah 68,486 orang.

“Walau bagaimanapun, daripada jumlah tersebut sebanyak 169 kertas undi pos telah dikeluarkan menjadikan mereka yang layak mengundi biasa pada Sabtu, 13 Oktober 2018 ini adalah seramai 68,317 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar menasihatkan pengundi supaya merancang masa dan keluar pada awal pagi.

“Ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu serta dijangka hujan di sebelah petang,” ujarnya sambil menambah waktu mengundi bermula jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

Beliau turut meminta para pengundi agar membuat semakan maklumat daftar pemilih sebelum hari pengundian.

Tegasnya, bagi mengetahui maklumat daftar pemilih tersebut, pengundi boleh membuat semakan melalui saluran-saluran yang disediakan iaitu dengan melayari portal rasmi SPR di www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak.

Azhar memaklumkan pengundi yang telah mengetahui maklumat itu tidak perlu menyemaknya pada borang SPR.

“Sebaliknya mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Pengundi disaran membawa slip/catatan maklumat tersebut serta menunjukkannya kepada petugas di saluran mengundi itu yang akan memudahkan petugas pilihan raya untuk membuat semakan nama dan membantu kelancaran proses pengundian.

“Pengundi juga dinasihatkan supaya membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah (yang memaparkan maklumat gambar, nama dan nombor kad pengenalan) pada hari mengundi serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette