Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman melawat tapak pameran pada Majlis Pembukaan SC’s InvestSmart 2018 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Dewan 2, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Antara komitmen dan harapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Bajet 2019 adalah bagi menangani kadar pengangguran dalam kalangan golongan muda yang ketika ini disifatkan sebagai sangat membimbangkan.

Menurut Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beliau memandang serius soal perancangan kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan belia negara.

Jelas Syed Saddiq, beliau sangat berharap untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia yang ketika ini sebanyak 10.7 peratus sehingga di bawah kadar satu angka pada masa akan datang.

“Isu pengangguran ini sebenarnya seperti ‘ticking of timebomb’. Ianya sangat membimbangkan. Sesuatu perlu dilakukan. Saya mahu memastikan kadar pengangguran ini dikurangkan kepada satu digit.

“Ketika ini, saya bersama pegawai lain sudah mula bercakap, berunding dan merancang dengan semua pemain industri bagi mencari jalan keluar menyelesaikan perkara ini sebelum ianya menjadi barah kemudian hari.

“Anak muda ini banyak isu penting, jika isu pekerjaan tidak dapat diselesaikan, kejayaan mereka akan terbantut. Selain daripada isu pengangguran, harapan saya untuk Bajet 2019 juga tentang masa depan juga berkaitan dengan pendidikan  Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bijak Labur 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Syed Saddiq menambah, TVET mampu melahirkan lebih ramai generasi belia berdaya saing serta berkemahiran tinggi dalam sektor perkhidmatan.

“Kita perlu dapatkan lebih banyak peruntukan untuk pendidikan TVET yang juga merupakan fokus KBS. Saya telah berkali-kali membangkitkan isu ini dalam mesyuarat kabinet.

“Golongan belia dapat mengembangkan potensi dan bakat secara menyeluruh, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup serta pertumbuhan ekonomi negara jangka panjang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga menyeru kepada golongan muda untuk belajar melabur bagi masa depan yang lebih cerah dan terjamin pada masa kelak.

“Bayangkan situasi begitu buruk sehingga ada segelintir belia tidak mampu menyimpan atau mengeluarkan wang sebanyak RM1,000 dari simpanan kerana tiada simpanan.

“Ini sangat membimbangkan dan menyedihkan. 47 peratus belia ketika ini juga terbelenggu dengan hutang kad kad kredit. Kita sedang merancang pelbagai program termasuk sesi jelajah bagi memberi kesedaran tentang kepentingan melabur dan menyimpan seluruh negara,” uajrnya. – Malaysia Gazette