Ahmad Zahid
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Ibu Pejabat SPRM selepas tujuh jam memberikan keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana dalam Yayasan Akal Budi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 12 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 7.43 malam ini.

Ahmad Zahid yang merupakan bekas timbalan perdana menteri memberi keterangan selama tujuh jam.

Ketika ditemui media, Ahmad Zahid berkata, kehadirannya pada hari ini adalah yang terakhir dan semua maklumat telah diberikan kepada pihak SPRM secara terperinci.

“Saya ucap terima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Shukri Abdull) dan semua pegawai kanan yang bertindak secara cukup profesional sepanjang empat hari ini.

“Saya beri kerjasama sepenuhnya dan saya harap ini akan memperjelaskan kekeliruan dalam masyarakat di luar sana,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memberitahu, kehadiranya pada sesi pertemuan hari ini turut memperjelas berkenaan tujuh perkara yang terkandung dalam kertas siasatannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan butiran lanjut kepada media tentang tujuh perkara itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau bersedia untuk datang semula ke agensi penguatkuasa undang-undang itu sekiranya ada lagi maklumat yang diperlukan oleh pegawai penyiasat dalam melengkapkan siasatannya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menasihati mana-mana pihak yang disiasat oleh SPRM agar memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap pegawai penyiasat agensi itu kerana mereka menunaikan tanggujawab dengan sebaik mungkin.

Tengahari tadi Ahmad Zahid dibenar untuk menunaikan solat Jumaat dan makan tengahari ketika hadir memberi keterangan.

Beliau datang semula ke agensi penguatkuasa undang-undang itu pukul 3.08 petang

Zahid hadir ke SPRM untuk hari kelima hari ini bagi membantu siasatan oleh agensi pencegahan rasuah itu berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Semalam, Ahmad Zahid diambil keterangan selama sembilan jam oleh pihak SPRM.

Ahmad Zahid diarah hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama dan kedua beliau hadir adalah pada 2 dan 3 Julai lalu serta semalam. – MalaysiaGazette