Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memeluk isterinya yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Port Dickson di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menepati ramalan apabila menang bergaya dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson yang telah diadakan hari ini.

Beliau berjaya menumbangkan enam lawannya dengan memperolehi sebanyak 31,016 undi.

Anwar menewaskan dua calon yang dianggap pesaing terkuatnya Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dari Pas dan calon bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Dalam pesaingan enam penjuru itu, Anwar berjaya memperoleh majoriti lebih besar iaitu 23,560 berbanding bekas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Danyal memperolehi majoriti 17,710 undi menewaskan calon Pas dan Barisan Nasional di kerusi itu yang dahulu dikenali sebagai Teluk Kemang sebelum persempadanan semula.

Pas yang diramal memberi saingan sengit mengejar rapat tetapi sekadar memperoleh 7,456 undi, manakala Mohd Isa Samad yang bertanding atas lambang kerusi hanya memperolehi 4,230 undi.

Kemenangan Anwar Ibrahim telah diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson kira-kira pukul 9.20 malam tadi.,

Sementara itu, calon bebas Stevie Chan memperoleh 337 undi, Lau Seck Yan 214 undi manakala Saiful Bukhari Azlan 82 undi.

Proses mengundi di 154 saluran melibatkan 32 pusat pengundian pada PRK kali ini berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang provokasi daripada penyokong parti.

Seramai 43,489 orang telah keluar mengundi pada hari ini.

Peratusan keluar mengundi dalam PRK kali ini mencecah 58.2 peratus berbanding PRU14 lalu iaitu 82.81 peratus tetapi tidak menerima nasib tiga PRK lalu yang merekodkan peratusan keluar undi dibawah 50 peratus.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan berikutan kekosongan kerusi bekas penyandangnya Danyal pada 12 September lalu sebagai memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ. – MalaysiaGazette