Gambar hiasan

PADANG BESAR – Dua mati lemas manakala seorang terselamat apabila bot fiber yang mereka naiki terbalik dan karam di Empangan Timah Tasoh di sini, petang ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, mangsa lemas dikenali sebagai Imran Afiq Ismail, 14, dan bapa saudaranya Jumain Ingan, 60, manakala yang terselamat ialah anak Jumain, Mohamad Julfaezuan, 28.

Ketika ditemui di tempat kejadian, jurucakap tersebut berkata kejadian berlaku ketika mereka menjala ikan di empangan itu semasa angin kencang kira-kira 4 petang tadi.

Beliau berkata pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghantar pasukan mencari serta menyelamat, dan menemui bot yang karam itu di sebelah Pusat Sukan Air Perlis kira-kira 7.15 malam.

Mayat Imran Afiq, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri, ditemui kira-kira 6 petang manakala mayat Jumain ditemui sekitar 7.15 malam.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat.

Sementara itu besan Jumain, Che Bae Darus yang ditemui Bernama berkata, Mohamad Julfaezan memberitahu beliau menyelamatkan diri dengan naik ke darat selepas bot itu terbalik dan tenggelam bersama bapa dan sepupunya.

“Julfaezuan berlari ke arah kawasan ternakan kambing berhampiran dan bertemu seorang pengawal keselamatan dan meminta tolong supaya membuat panggilan kepada bomba,” katanya bahawa Mohamad Julfaezuan kemudian kembali ke tempat kejadian. – MalaysiaGazette