Calon bebas, Tan Sri Isa Samad menunjukkan jari yang berdakwat selepas membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad berkata, beliau kini mendahului calon lain dengan lima undi sekitar jam 12 tengahari tadi.

Isa yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan turut melahirkan rasa syukur apabila keempat-empat anaknya mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

“Saya mendahului empat undi. Saya gembira sebab kesemua anak-anak saya dapat mengundi bersama sala walaupun di pusat mengundi yang berbeza.

“Selalu kita undi orang, sekarang kita undi diri sendiri. Kalau ada rezeki saya boleh menang PRK Port Dickson. Banyak sikit majoriti janji menang,” katanya setelah selesai mengundi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Linggi, sebentar tadi.

Hadir menemani beliau adalah keempat-empat anaknya, iaitu Mohamad Najib, 40, Megawati, 37, Juhaida, 29, dan Lelawati, 34.

Isa adalah satu-satunya calon yang mengundi di PRK Port Dickson keratan merupakan anak tempatan di sini.

“Itu nasib merekalah. Saya bernasib baik sebab ahli keluarga saya mengundi di DUN Linggi,” katanya.

Isa bersama enam lagi calon bersaing untuk merebut Parlimen Port Dickson setelah kerusi ini dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Selain Anwar dan Isa, empat lagi calon adalah bekas pembantu peribadi Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan, calon Pas, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong; bekas pensyarah, Lau Seck Chan; dan pakar perunding, Kan Chee Yuen.

Parlimen Port Dickson merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Kesemua 132 pusat pengundian akan ditutup jam 5.30 petang ini. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan