Penyanyi, Khai Bahar
Penyanyi, Khai Bahar

KUALA LUMPUR – Penyanyi Khai Bahar akur dengan keputusan pengadil yang menobatkan trofi Bintang Paling Popular (ABPBH) untuk dimiliki oleh Wany Hasrita.

Meskipun begitu, beliau menyatakan cukup gembira kerana dapat mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular yang dimenanginya dalam pertandingan itu pada tahun lalu.

“Memang saya sedar harapan peminat yang mahu melihat saya memenangi trofi Bintang Paling Popular, kali ini.

“Namun, bukan rezeki saya pada malam itu. Apapun, saya tumpang gembira dan bangga atas kejayaan teman seperjuangan, Wany,” katanya dipetik dari BH Online.

Penyanyi lagu Luluh itu disebut-sebut antara artis yang mampu membawa pulang trofi utama berkenaan berdasarkan pencapaiannya sejak akhir-akhir ini.

Dalam pada itu, Khai, 24, yang baru saja muncul dengan single berjudul #123 berkata, dia juga dimaklumkan sebahagian peminatnya kecewa apabila beliau gagal membawa pulang anugerah utama itu.

“Saya cuma berharap mereka akan terus memandang ke hadapan.

“Jujurnya, apabila memenangi sesebuah trofi, ia bukan sekadar tanggungjawab dan menjadi pencetus semangat untuk saya terus menghasilkan sesuatu yang terbaik pada masa akan datang, malah dalam masa sama seakan-akan satu tekanan.

“Peminat atau pemerhati di luar sana mungkin berasakan, saya akan terus menang dan menang lagi,” ujarnya yang baru dua tahun menjadi anak seni. – MalaysiaGazette