Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

PORT DICKSON – Lima calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson hilang wang pertaruhan atau deposit hari ini.

Mereka ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan, calon bebas wanita Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dalam sidang media di sini.

Isa Samad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bertanding atas lambang kerusi hilang deposit apabila hanya sekadar memperolehi 4,230 undi sahaja.

Bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Saiful Bukhari pula memperolehi undi tercorot dalam senarai tujuh calon iaitu 82 undi sahaja, manakala Stevie Chan 337 undi, Kan Chee Yuen 154 undi dan Lau Seck Yan 214 undi.

Azhar bagaimanapun memuji keberanian kesemua calon bebas itu untuk bertanding sehingga menyaksikan tujuh penjuru dalam PRK Port Dickson.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan terima kasih kepada calon terutama calon bebas lima orang ini yang membuktikan amalan demokrasi kita matang dan robust.

“Pertandingan pilihan raya seperti ini boleh diteruskan pada masa akan datang demi amalan demokrasi yang lebih baik dan subur,” katanya.

Pertaruhan sebanyak RM10,000 diperlukan bagi kerusi Parlimen dan calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian.

Dalam PRK berkenaan, Anwar  selaku calon Pakatan Harapan menang dengan perolehan majoriti besar 23,560 undi.

Beliau memperolehi sebanyak 31, 016 undi menewaskan calon Pas dan lima calon bebas yang lain.- MalaysiaGazette