tweet
Tweet Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR- Kerancakan Datuk Seri Najib  Razak memuatnaik pandangan beliau terhadap isu-isu semasa negara bukan sahaja memberi input tambahan kepada rakyat yang kadang-kala keliru dengan halatuju pemerintahan semasa.

Posting-posting beliau itu juga telah menarik perhatian pemimpin-pemimpin dari parti politik yang lain.

Mungkin mempunyai lebih banyak masa selepas bersara dari politik, Najib menggunakan platform media sosial sebaik-baiknya sama ada untuk menyatakan pandangan peribadi mahupun membela diri sendiri daripada tuduhan pihak lawan.

Ramai yang kagum dengan posting-posting sarkastik bekas Perdana Menteri keenam itu kerana beliau sebelum ini terkenal dengan sikap gentleman.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz contohnya, baru-baru ini menyatakan keseronokan beliau membaca posting-posting Najib.

“Ehh tiber..saya sangkut lama kat page DS Najib Razak sari dua ni. Lejen gak dia punya troll haha..lekat getah sorang tu hihi (Eh tiba-tiba saya terpaku lama di laman Datuk Seri Najib Razak sehari dua kebelakangan ini. Hebat juga sindiran beliau, terkena pada seseorang itu),” katanya di laman Twitternya baru-baru ini.

Tweet tersebut mendapat pelbagai balasan netizen yang rata-rata bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Nik Mohamad Abduh.

Rata-rata berpendapat, kesibukan Najib semasa menjadi Perdana Menteri dahulu menghalang beliau untuk aktif di media sosial.- MalaysiaGazette