Pengundi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bermula tepat 8 pagi tadi selepas 14 hari berkempen.

Seramai 68,579 pengundi mendaftar dijangka keluar mengundi hari ini di 32 pusat mengundi dengan 154 saluran.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing diwakili DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) serta Sri Tanjung (PKR).

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas dikosongkan oleh penyandang daripada PKR, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pakatan Harapan kembali ke Dewan Rakyat.

Anwar bakal dicabar oleh calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon babas.

Ia termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong.

Turut menjadi calon Lau Seck Chan, bekas pensyarah dan Kan Chee Yuen seorang pakar perunding.

Pada PRU14 lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan Datuk VS Mogan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, Mahfuz Roslan.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar dengan pecahan 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Tetapi, proses pengundian awal bagi 7,191 anggota pasukan keselamatan diadakan pada 9 Oktober lalu.

PRK Parlimen Port Dickson ini adalah PRK keempat diadakan selepas PRU14 membabitkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong. – MalaysiaGazette