Pelabuhan Tanjung Pelepas

GELANG PATAH – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) sudah bersedia untuk melaksanakan pembangunan fasa ketiga zon bebas PTP bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada syarikat multinasional yang mahu berpindah ke Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Marco Neelsen berkata, kumpulan itu telah menerima permohonan daripada syarikat-syarikat antarabangsa yang ingin berpindah serta yang mahu memasuki pasaran Malaysia dan rantau ini.

Kos pembesaran fasa ketiga mungkin tidak jauh beza daripada kos pembangunan fasa satu dan fasa dua di zon bebas PTP sebelum ini.

“Kami telah melabur sebanyak RM2.4 bilion dalam dua fasa zon bebas PTP sebelumnya. Sehingga sekarang, lebih daripada 94 peratus tanah yang dibangunkan dalam fasa satu dan dua telah dipajak kepada beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada kumpulan media yang telah dibawa melawat Bandar Lapangan Terbang Senai dan PTP hari ini.

Fasa satu dan dua telah mencatatkan jumlah dagangan tahunan sebanyak 100,000 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki).

Zon bebas PTP merangkumi lima fasa dengan keluasan 640.62 hektar, dengan fasa satu dan dua membentuk kira-kira 256.98 hektar, manakala fasa tiga, empat dan lima merangkumi kawasan seluas 383.64 hektar.

Menurut Neelsen lagi, pembangunan di fasa tersebut dijangka boleh dimulakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, memandangkan rancangannya masih di peringkat awal dan PTP mungkin akan mengeluarkan bon atau sukuk seperti sebelum ini.

Katanya, perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China mungkin memberi beberapa peluang kepada Malaysia.

“PTP telah mencatat pertumbuhan jumlah pengendalian kontena pada tahun lepas dan kita diramal akan menyaksikan peningkatan sebanyak lima peratus dalam jumlah keseluruhan kendalian kepada sembilan juta TEU berbanding 8.4 juta yang direkodkan pada tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, S&P Global Ratings berkata kebimbangan mengenai beralihnya laluan perdagangan tidak akan menyebabkan transaksi kargo meminggirkan Malaysia.

“Jika pasaran AS semakin sukar diakses oleh China, China mungkin akan beralih kepada negara lain seperti India dan Malaysia untuk penghantaran pakej dan ini bermakna lebih banyak kadar trafik dari negara-negara ini dan syarikat-syarikat China serta multinasional yang lain akan menjenguk ke dalam pasaran Malaysia bagi penyumberan untuk sebahagian rantaian bekalan mereka,” kata Pengarah Penarafan Infrastruktur S&P Global Ratings, Abhishek Dangra kepada Bernama.

Beliau ketika ditanya sama ada peralihan laluan boleh berlaku dalam masa terdekat, berkata kemungkinan itu amat tipis kerana rantaian bekalan global adalah sangat sukar untuk berubah dalam jangka masa yang pendek.

“Tidak ramai pengilang yang mengeluarkan barang (yang dihantar ke AS) dalam jumlah yang agak besar, juga tidak banyak alternatif seperti China,” katanya, sambil menambah jika perang perdagangan ini berpanjangan, impak akan dapat dilihat dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Beliau ketika mengulas mengenai industri pelabuhan secara umum, memberitahu kebanyakan pelabuhan di rantau ini tidak mempunyai satu mekanisme kos laluan, mereka terdedah kepada persaingan.

“Jika jumlah perdagangan meningkat, aliran tunai akan naik, tetapi jika perdagangan menjadi suram, dan apabila operator pelabuhan menghabiskan modal perbelanjaan untuk pengembangan tetapi perolehan tidak berkembang, ini akan memberi tekanan ke atas imbangan baki mereka, jadi tahap kesan perang perdagangan ini akan bergantung kepada keupayaan kadar penggunaan sesebuah pelabuhan dan tahap skala,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan