gaun
Gaun pengantin yang dipakai Puteri Euginie sengaja mendedahkan parutnya.

LONDON- Puteri Diraja Britain, Puteri Eugenie sengaja memilih gaun pengantin rekaan Peter Pilotto yang mendedahkan parut di bahagian belakang badannya akibat pembedahan membetulkan scoliosis (tulang bengkok) semasa berusia 12 tahun.

“Saya rasa anda boleh mengubah makna kecantikan dan anda boleh menunjukkan parut yang ada.

“Saya rasa ini adalah sesuatu yang sangat-sangat istimewa untuk ditunjukkan,” katanya sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Fabrik yang digunakan untuk membuat gaun tersebut mempunyai beberapa simbol istimewa.

Pereka Peter Pilotto dan Christopher De Vos menggunakan beberapa motif khusus pada fabrik jacquard Itali itu.

Antaranya thistle untuk Scotland kerana pasangan tersebut menyukai Balmoral, shamrock untuk Ireland yang mana keluarga Ferguson berasal dari situ manakala York Rose dan Ivy yang mewakili maksud Ivy Cottage, lokasi pasangan tersebut tinggal.

Puteri York itu juga tidak memakai kerudung seperti kebiasaan pengantin diraja British yang lain.

Baginda hanya memakai tiara yang dipinjamkan oleh Ratu Elizabeth.

Tiara bertatahkan permata zamrud itu dihasilkan pada tahun 1919.- MalaysiaGazette