Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membawa kotak undi pertama tiba dari pusat mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Pusat Penjumlahan Undi Dewan MPPD, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan perbincangan Isnin ini bagi membolehkan peraturan pilihan raya sedia ada diperketat dan diperkemaskan.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, terdapat kelonggaran dalam Akta Kesalahan Pilihan 1954 yang boleh menimbulkan perbalahan, justeru tindakan drastik mengkaji semua kelemahan perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, undang-undang sedia ada mengundang interpretasi yang berbeza, kurang jelas serta boleh dipersoalkan.

“Terdapat aktiviti kempen yang diperbalahkan bukan kerana apa, cuma peraturannya kurang terang dan kemas untuk dipatuhi calon atau penyokong serta parti yang bertanding.

“Untuk itu saya rasa dalam agenda reformasi kita akan memberi perhatian dalam aspek  itu supaya peratuan-peraturan lebih terang dan lebih fokus dapat difahami oleh semua calon,” katanya dalam sidang media di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson malam ini.

Sebelum itu Azhar mengumumkan Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Ketua Umum PKR itu menang bergaya dengan memperolehi 31,016 undi dan majoriti 23,560 undi menawaskan enam calon lain termasuk Pas.

Manakala lima calon bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hilang wang pertaruhan atau deposit dalam PRK kali ini.

Mengulas lanjut, Azhar mengambil contoh aktiviti menyediakan makanan atau jamuan kepada pengundi, adakah ia kesalahan di bawah akta pilihan raya.

“Masalahnya pihak ketiga yang buat ‘treat’, bukan ejen atau parti atau calon sendiri. Itu yang saya kata peraturan kurang terang. Kalau calon itu buat maka adalah terang dalam akta kesalahan pilihan raya, kalau orang lain buat boleh diperbalahkan,” katanya.

Ditanya mengenai peratusan keluar mengundi sebanyak 58.2 peratus, katanya peratusan itu realistik walaupun tersasar dari sasaran 70 peratus yang ditetapkan SPR.

“Saya rasa 58.2 peratus ini lebih baik daripada tiga PRK lalu yang mencatatkan peratusan keluar mengundi bawah 50 peratus.

“Saya berpendapat kemuncak kehendak mengundi telah dicapai 9 Mei lalu, maka sudah tentunya kehendak mengundi akan menurun dalam masa lima bulan ini.

“Jika ditanya apakah trend ini akan kekal dibawah 60 peratus keluar undi, kita tak boleh agak.

“Walaupun PRK lepas kita jalankan berbagai usaha menyeru pengundi keluar mengundi misalnya melalui sosial media, iklan dan unit bergerak penerangan namun tak sampai 60 peratus,” katanya.  MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan