Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir untuk bercakap kepada para penyokong selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (BGU), Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Ahli Parlimen P132, Port Dickson, Datuk Seri Anwar mendedahkan tiada sebarang peruntukan disalurkan kerajaan Pakatan Harapan (PH)  kepada PKR dalam merencanakan program sepanjang 14 hari berkempen.

Perkara itu dinyatakan Anwar dalam ucapan sulung sebagai Ahli Parlimen di pentas utama bilik gerakan gabungan itu.

Jelas Anwar, kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengumumkan sebarang projek mahupun peruntukan tertentu kepada Port Dickson.

“Saya salute orang Port Dickson kerana dalam pilihan raya ini, tak ada sekolah baru dibuka, tak ada pembesaran hospital diberi.

“Tidak ada peruntukan untuk kuil dan masjid, tidak ada sebarang peruntukan dari mana-mana kerajaan Pusat atau negeri. Tak ada menteri besar beri tanah, tak ada,” katanya di hadapan lebih 2,000 penyokong beliau.

Hadir sama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan.

Menurut Anwar, beliau berterima kasih kepada pengundi Port Dickson yang memilihnya tanpa perlu menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada mereka.

“Ini kali pertama Port Dickson mencatat sejarah kerana kali pertama tidak ada sebarang peruntukan diberikan tetapi rakyat dan pengundi Port Dickson tetap memilih Pakatan Harapan kerana harapan itu.

“Tapi sekarang kita boleh bagi kerana sudah habis pilihan raya, saya akan ketuk pintu (pejabat) menteri besar, saya akan ketuk pintu tiap-tiap menteri yang ada kaitan dan kata jangan lupa Port Dickson,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan