Sebahagian pengundi beratur bagi membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan mustahil tol dihapuskan dipercayai antara punca Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson gagal mendapat sambutan pengundi terutama pengundi luar.

Calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, kenyataan itu sudah pasti menimbulkan rasa kurang senang dalam golongan pengundi muda, lantas mereka melakukan protes dengan tidak balik mengundi.

“Mungkin kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad (tol mustahil dihapuskan).

“Ini mungkin menjejaskan jiwa golongan pengundi muda.. mungkin ada tanda-tanda protes anak muda untuk tidak turun mengundi, yang mana ada di sini pun tidak mahu keluar, mungkin boikot,” katanya ketika ditemui SK Port Dickson hari ini.

Selain itu, beliau turut berpendapat tarikh 13 Oktober tidak sesuai untuk dipilih sebagai hari mengundi kerana jatuh pada pertengahan bulan menyebabkan pengundi di luar kawasan kekurangan bajet untuk balik mengundi.

“Tarikh ini bukan gaji masuk, jadi mereka tak balik undi hari ini, itu andaian saya..,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga mengakui pemantauan di beberapa pusat mengundi didapati masih lengang dan lebih teruk dari SK Port Dickson.

“Mungkin tengah hari akan lebih lagi yang mana ada baki tiga jam lagi.

“Mungkin ada lagi akan turun tapi saya tak berani buat jangkaan,” tegas beliau.

Dalam pada itu calon bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut menyatakan kekesalan mengenai peratusan keluar mengundi yang lenggang di kebanyakan pusat mengundi.

“Saya pun tak faham kenapa keadaan ini berlaku.. kesal sebab tak ramai.

“Harap peratusan meningkat sebab cuaca juga baik hari ini,” tegasnya.

PRK Port Dickson kali ini melibatkan sebanyak 32 Pusat Daerah Pengundi dengan 171 saluran mengundi dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).- MalaysiaGazette

Pilihanraya diadakan di Parlimen Port Dickson selepas bekas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu sebagai memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding ke Parlimen.

Kos berjumlah RM3.6 juta disedikan untuk perjalanan PRK kali ini dan 68 317 pengundi biasa berdaftar sedang menunaikan tanggungjawab mengundi.

Pada 9 Oktober lalu seramai 6636 anggota tentera dan 555 anggota polis yang layak mengundi terlibat dalam proses undi awal. – MalaysiaGaZette

Tinggalkan Jawapan