Pengumuman larangan merokok di kedai kopi, pusat penjaja terbuka malahan gerai tepi jalan telah mengundang reaksi segera pengusaha yang antaranya meminta kerajaan memberi kelonggaran. 
Gambar hiasan

ALOR SETAR- Tiada ruang merokok khas dibenarkan dalam restoran, tegas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye.

Jelasnya, kerajaan telah menolak cadangan pengendali-pengendali restoran yang mahu menyediakan satu ruang khas merokok di dalam premis masing-masing apabila kerajaan mula melaksanakan zon larangan merokok di semua kedai makan bermula 1 Januari tahun hadapan.

“Kami terima banyak cadangan daripada pengendali restoran tetapi kerajaan menolak permintaan tersebut kerana memikirkan kesihatan orang awam adalah satu keutamaan.

“Sebelum ini larangan merokok hanya dikenakan kepada restoran-restoran berhawa dingin sahaja,” katanya.

Tambah Dr. Lee, kementerian akan terus konsisten untuk mewujudkan lebih banyak kawasan bebas asap rokok pada masa akan datang.

Sesiapa yang engkar terhadap larangan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan Larangan Produk Tembakau 2004 yang dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983.-MalaysiaGazette