Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membawa kotak undi pertama tiba dari pusat mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Pusat Penjumlahan Undi Dewan MPPD, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2018.

 

PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mendahului enam lagi pencabarnya  bagi keputusan di peringkat pengundian awal.

Menurut sumber PKR, secara tidak rasmi Anwar mendahului dengan 3,913 undi berbanding calon Pas, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dengan 2,097 undi.

Sementara calon bebas ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan 36 undi, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong (26 undi), bekas pensyarah, Lau Seck Chan (14 undi) dan pakar perunding, Kan Chee Yuen (11 undi).

Pada PRU-14, Datuk Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan Datuk VS Mogan daripada Barisan Nasional (BN) dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing diwakili DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) serta Sri Tanjung (PKR).

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar dengan pecahan 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – MalaysiaGazette