Noorhidayu Samsuddin gembira selepas berpeluang mengundi secara biasa di PRK Port Dickson hari ini.

PORT DICKSON – Wartawan Stesen penyiaran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) teruja kerana berpeluang mengundi secara biasa di sebalik kesibukan membuat liputan lada Pilihan Raya Kecil Port Dickson hari ini.

Noorhidayu Samsuddin, 33, berkata, ia satu pengalaman baharu keluar mengundi.

“Saya mengundi sejak PRU13, itupun hanya melalui undi pos  kerana bertugas di Kuala Lumpur pada hari mengundi.

“Ketika itu saya cemburu kerana tidak dalat mengundi biasa seperti orang biasa lain – mencelup jari pada dakwat.

“Bagaimanapun impian untuk merasai dakwat undi tercapai apabila mencelup jari dan mengundi biasa pada PRK kali ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kolej Vokasional Port Dickson di Lukut di bawah DUN Seri Tanjung.

Noorhidayu antara 4,707 pengundi yang menjalankan kewajipan demokrasi itu di pusat yang menyediakan 10 saluran undi selepas SK Port Dickson.

“Undi pos saya tak dapat merasai semangat atau menghayati suasana ini.

“Sudah pasti lepas ini saya mahu celup jari untuk pilihan raya akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette