Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima frame gambar sebagai cenderamata daripada Pesakit Sindrome Asperger's, Ameer Hamizan (dua kiri) sambil diiringi Rektor UITM Cawangan Selangor, Prof. Datuk Dr. Abu Bakar Abdul Majeed (kanan) dan Pengerusi Young Minds Take Charge, Dr. Salina Mohamed (tiga kanan) pada Majlis Pelancaran "Young Minds Take Charge" sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Pusat Beli-belah Melawati Mall, Taman Melawati, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 peratus daripada 5.5 juta golongan muda di negara ini didapati pernah merancang untuk membunuh diri manakala 6.9 peratus pernah cuba membunuh diri.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kaji selidik oleh Kesihatan Mental Kebangsaan turut mencatatkan seramai 1:5 golongan muda mengalami kemurungan dan 1:10 berasa tertekan.

Jelas beliau, data tersebut perlu diberi perhatian khusus kerana isu kesihatan mental menjadi serius pada masa ini.

“Isu kesihatan mental perlu didedahkan kepada umum kerana anak mida yang terlibat memerlukan sokongan dan bantuan daripada rakan-rakan, guru-guru, pensyarah dan ibu bapa.

“Semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tindakan dan kelakuan anak muda serta segera mengambil langkah pencegahan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada kepada media selepas merasmikan program ‘Young Minds, Take Charge’ di Melawati Mall di sini hari ini.

Syed Saddiq menambah, ibu bapa tidak patut malu membawa anak mereka menjalani ujian saringan kesihatan mental di klinik dan hospital demi mengelak keadaan lebih buruk seperti kes bunuh diri di masa hadapan.

Pada masa sama, jelas beliau, lapisan masyarakat perlu prihatin dengan perubahan tingkah laku anak muda yang merupakan sebahagian tanda gangguan kesihatan mental dan seharusnya tidak boleh mengambil ringan.

“Anak muda bukan seperti golongan dewasa yang boleh berkongsi dan menceritakan masalah mereka.

“Semua pihak perlu peka apabila terdapat pelajar atau rakan mereka tiba-tiba diam dan murung serta tidak mengendahkan orang di sekeliling atau cuba meluahkan sesuatu yang pelik namun kita fikir mereka bergurau,” katanya. – MalaysiaGazette