Restoran De Sambal kini memeriahkan suasana Dataran Underground yang terletak di bawah Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR – Sebut nama Dataran Merdeka, pasti terbayang diminda kemeriahan acara berskala besar yang sering dianjurkan di situ yang menjadi tumpuan ramai warga kota dan pelancong.

Namun di bawah dataran itu pasti ramai belum mengetahui kewujudan medan selera yang makin popular dikenali Dataran Underground.

Jadi jika anda masih mencari destinasi untuk menjamu selera pada waktu tengahari dengan hidangan ayam kampung dan pelbagai lauk pauk menyelerakan, Restoran De Sambal Ayam Kampun (De Sambal) mampu memenuhi keinginan pengunjung.

224B9251
Menu ayam kampung goreng jadi tumpuan pengunjung di Restoran De Sambal.

Pengasas De Sambal, Mohd. Aminuddin Ibrahim berkata, sebanyak 40 menu lauk kampung menjadi tarikan utama apabila menawarkan lima jenis masakan berasaskan ayam kampung iaitu ayam goreng biasa, ayam berempah, percik, gulai dan percik.

“Harga yang ditawarkan ialah RM5.50 seketul ayam untuk mana-mana menu tersebut dan yang menjadi tumpuan adalah ayam kampung yang digoreng panas-panas dengan aroma menyelerakan.

“Inilah keistimewaan De Sambal yang tidak terdapat di restoran-restoran lain di tengah ibu kota.

224B9265
Ayam kampung goreng berempah.

“Kebiasaan pelanggan yang mengunjungi restoran ini pasti akan mencari menu ayam kampung dahulu sebelum mengambil lauk-pauk lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Dataran Underground, Dataran Merdeka di sini baru-baru ini.

Turut hadir pengasas bersama De Sambal, Mohd. Rimi Ismail.

Dataran Underground kini diuruskan oleh Crystal Teamtrade Sdn. Bhd. yang memiliki pengalaman yang luas dalam bidang makanan dan minuman itu merupakan operator medan selera tersebut.

224B9388
Restoran De Sambal menawarkan lima menu berasaskan ayam kampung.

Selain De Sambal yang beroperasi sejak sebulan lalu, terdapat lima buah kedai menawarkan pelbagai menu makanan menarik kepada pengunjung antaranya, nasi lemak, nasi campur berasaskan lauk kampung, makanan panas bergoreng, shellout dan makanan barat.

Medan selera yang boleh memuatkan sehingga 500 pengunjung dalam satu-satu masa itu telah menjadi perhatian warga kota yang bekerja di berdekatan dengan Dataran Merdeka pada waktu makan tengahari, petang dan malam.

Dataran Underground telah dinaiktaraf kemudahannya sejak tahun 2013 setelah mengalami masalah banjir sekali gus sebelum ini terus diabaikan dan lengang daripada kunjungan warga kota.

224B9240
Ayam kampung percik.

Sementara itu, Mohd. Rimi menambah, bilangan pengunjungnya kini semakin meningkatkan pada cuti hujung minggu disebabkan itu beliau mahu meningkatkan promosi untuk penganjuran pelbagai program pada masa depan.

Tambah beliau, medan selera yang lengkap dengan kawasan parkir mencukupi itu boleh dijadikan sebagai pusat penganjuran bagi majlis perkahwinan, pertemuan semula atau reunion dan juga aktiviti syarikat swasta dan kerajaan.

Menurutnya, pihak syarikat mampu menawarkan khidmat katering yang lengkap untuk apa juga penganjuran majlis yang diadakan di situ. – MalaysiaGazette

224B9299
Mohd. Aminuddin Ibrahim (kiri) dan Mohd. Rimi Ismail (dua dari kanan) merupakan pengasas bersama Restoran De Sambal Ayam Kampung.