Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong bercakap pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pemegang Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong memberi ingatan kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar berhenti menjadi pembangkang dengan ketaksuban menuding jari sebaliknya memberi fokus kepada kebajikan rakyat.

Menurutnya, setelah memegang tampuk pemerintahan seharusnya kerajaan baharu mengutamakan prinsip yang menjadi laungan mereka selama ini dalam melakukan pelbagai reformasi serta pembaharuan.

“Berhenti menjadi pembangkang. Berhenti tuding jari dan cari kesalahan. Anda semua bukan lagi pembangkang, buang perasaan itu. Anda kini mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan. Rakyat termasuk saya juga ternanti-nanti.

“PH perlu melakukan yang terbaik untuk rakyat di negara ini. 60 tahun lepas, ini adalah sebuah negara pertanian yang sangat miskin, lihat kini ianya bernilai lebih RM1 trilion ketika ini. Tengok perkembangan dalam tempoh ini.

“Kita mahu perubahan positif yang selama diwar-warkan oleh kerajaan PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-14) lepas. Gunakan peluang kejayaan serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat untuk kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ketika Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri Pemuda dan Wanita Wilayah Persekutuan di Menara PGRM sebentar tadi.

Jelas Siew Keong, beliau saban hari bimbang dengan laporan berita berhubung keluh kesah rakyat yang ada segelintir kini melalui fasa susah sejurus selepas kerajaan baharu mengubah dasar serta polisi kerajaan terdahulu.

“Saya cukup bimbang apabila terbaca laporan mengatakan hampir 20,000 bakal hilang kerja. Hakikatnya rata-rata rakyat ini mempercayai dan mengundi kerajaan PH. Janganlah sampai mereka hilang kerja. Buat sesuatu. Jangan sekadar lepas tangan.

“Malah saya juga terbaca laporan berita Indonesia, Presiden Jokowi bimbang dunia akan mengalami krisis ekonomi yang teruk dalam tempoh 10 tahun akan datang. Hakikatnya, kita sendiri akan berdepan dengan cabaran.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, banyak juga janji manifesto tidak dapat dilakukan dengan pelbagai jenis alasan, rakyat sedang lihat semua itu. Kerajaan PH perlu lebih fokus kepentingan rakyat,” ujarnya.

Siew Keong yang merupakan mantan  Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum ini menambah, parti Gerakan walaupun kini sudah keluar dari komponen Barisan Nasional (BN) dan berseorangan namun tidak menolak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sependapat dengan mereka.

“Ketika ini, Gerakan tidak menyokong atau memihak kepada mana-mana pihak sebaliknya akan bersuara lantang mengkritik demi rakyat. Sekiranya dasar serta polisi itu bagus dan berkepentingan untuk rakyat, kami akan sokong sepenuhnya,” tegas beliau. – Malaysia Gazette