Presiden Parti Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pemegang Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan amat positif dengan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson semalam dengan perolehan majoriti besar 23,560 berbanding sebelum ini hanya 17,710.

Menurut Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, kehadiran Anwar di Parlimen selepas mengangkat sumpah esok berkemungkinan besar akan membawa perubahan positif dan lebih baik terutamanya dalam agenda reformasi Parlimen.

Malah, sebagai pemimpin yang bakal memimpin negara sebagai Perdana Menteri kelapan, kebolehan Anwar sebagai ‘check and balance’ amat dialu-alukan dan dinantikan.

“Saya perlu ucapkan syabas dan tahniah kepada Anwar dengan kemenangan yang sangat besar. Janji Anwar seandainya berjaya ke Parlimen, beliau akan berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ dengan niat untuk mereformasikan Parlimen.

“Saya rasa ini sangat bagus, agenda ini demi sistem yang lebih baik dan demokratik yang bakal dibawakan oleh Anwar kelak. Kita lihat nanti apa yang akan berlaku kelak tetapi buat masa ini kita ucap tahniah kepada beliau,” katanya dalam sidang media.

Siew Keong mengulas tentang kemenangan ‘luar biasa’ Anwar di Port Dickson semalam malah laluan beliau ke Putrajaya kini terbuka luas dengan sokongan rakyat dilihat lebih cenderung kepadanya.

Ada laporan mengatakan parti Gerakan Port Dickson sendiri telah bertindak memberi sokongan kepada Anwar sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu ketika berkempen baru-baru ini.

Ahli-ahli parti Gerakan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kempen PRK Port Dickson.
Ahli-ahli parti Gerakan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kempen PRK Port Dickson.

Siew Keong juga tidak menolak seandainya Gerakan berpeluang untuk menyertai mana-mana parti kerajaan PH pada masa hadapan namun bertegas akan bertanding menggunakan logo mereka sendiri.

“Kita selesa ketika ini dalam memperkasa parti ketika ini, banyak perlu dilakukan. Pada masa yang sama, seandainya ada parti di luar sana yang mempunyai pendirian seperti Gerakan, kita akan lihat nanti,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap dihadapan kira-kira 200 perwakilan ketika Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri Pemuda dan Wanita Wilayah Persekutuan di Menara PGRM. Mah berkata, tidak ada apa yang mustahil dalam politik.

“Anwar sudah menang dan bakal angkat sumpah esok. Beliau sudah kembali ke Parlimen setelah sekian lama. Ingatkah anda, satu ketika dulu Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak dikenali? Tetapi pada hari ini, mereka adalah parti terbesar dengan kerusi terbanyak.

“Pada tahun 1999, mereka ada lima kerusi Parlimen, tetapi pada 2004 pula hanya satu sahaja kerusi. Kini? Mereka mempunyai kuasa besar dan menjadi kerajaan ketika. Dalam politik, tidak ada apa-apa yang mustahil, ada pasang dan surut.

“Ini juga adalah mesej untuk kita semua, jangan sesekali patah semangat. Kita juga akan mampu bangkit kembali, fokus utama kita adalah untuk rakyat dan demi rakyat. Kita perlu menjadi kuat,” ujarnya. – Malaysia Gazette

Tinggalkan Jawapan