Menteri Wilayah, Khalid Samad
Menteri Wilayah, Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan Program Public Outreach di bawah projek River of Life (ROL) meskipun kesedaran awam untuk menghentikan pencemaran sungai masih gagal.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, sehingga kini tahap kemajuan projek pembersihan sungai telah mencapai 83 peratus dan tumpuan kini perlu diberikan kepada kerjasama masyarakat dalam usaha pemulihan.

“ROL belum tercapai dan kita belanja dekat RM4 bilion dan kita selesaikan projek ini dan kini hanya tinggal bahagian yang terakhir untuk kita naik taraf.

“Semua pelaburan ini tidak akan bermakna kalau kesedaran asas tak dapat kita tanam dalam kalangan masyarakat.

“Memang kita akan banyak public outreach programme dan rencana menzahirkan bagaimana keadaan sungai-sungai di luar negara berbanding sungai-sungai di Malaysia dengan kehendak kita.

“Namun kita kena pastikan orang ramai bersama dengan kita dalam usaha ini supaya Kuala Lumpur akan diperindahkan dengan sungai itu dan bukan sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan aplikasi Citizen’s Eye di Pejabat Lembangan Sungai Klang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, di sini, hari ini.

Pelaksanaan ROL bermula Jun 2012 oleh Kerajaan Persekutuan bertujuan menjadikan 10.7 kilometer Sungai Klang dan Sungai Gombak sebagai ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi tinggi.

Terdapat lapan batang sungai dalam projek ROL iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong.

Kerajaan Persekutuan juga telah membelanjakan hampir RM4 bilion untuk kerja-kerja pembersihan di sepanjang 110 kilometer sungai-sungai yang merentasi ibu negara.

Khalid juga menafikan Program Public Outreach sebagai satu projek yang gagal, sebaliknya ia perlu tambah baik khususnya mendapatkan kerjasama daripada masyarakat agar berhentik mencemarkan sungai.

“Program outreach itu belum siap sepenuhnya dan ia bukan kegagalan dan kita perlu naik taraf.

“Kita ada banyak video, rencana dalam RTM, TV3 kita kena turun padang dan berjumpa dengan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, melalui aplikasi Citizen’s Eye yang dilancarkannya hari ini, orang ramai boleh membantu kerajaan sebagai mata dan telinga untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran sungai.

“Kita tubuhkan kumpulan dalam kalangan penduduk yang mendiami di sepanjang sungai dalam bandaraya.

“Kita ada rakan Sungai Gombak dan rakan Sungai Batu di mana mereka mengambil inisiatif dengan memantau kualiti air sungai, dibantu pula dengan aplikasi Citizen’s Eye

“Semua ini untuk meningkatkan kesedaran awam,” katanya.

Beliau turut berkata, kerja-kerja pembersihan sungai-sungai terbabit akan diteruskan supaya ia boleh dijadikan lokasi tumpuan pelancong untuk melihat limpahan pencahayaan dan murik menarik pada waktu malam.

“Kita mahu membuat perubahan kualiti air sungai daripada Kelas III-IV (tidak selamat untuk sentuhan badan) kepada Kelas IIB (lebih selamat untuk kegunaan rekreasi dengan sentuhan) menjelang 2020,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan