Kerajaan Johor tidak akan mengeluarkan permit untuk penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di negeri itu. - MB, Osman Sapian
Kerajaan Johor tidak akan mengeluarkan permit untuk penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di negeri itu. - MB, Osman Sapian

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor tidak akan mengeluarkan permit untuk penganjuran pesta arak atau Oktoberfest di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata bagaimanapun jika ada bukan Islam ingin mengadakan majlis yang melibatkan minuman keras, mereka boleh berbuat demikian di premis yang sudah memiliki lesen.

“Kita (kerajaan negeri) mengikut apa yang berlaku… sebelum ini pun kita tidak pernah mengeluarkan lesen untuk Oktoberfest tetapi kalau dalam kalangan bukan Islam untuk mengadakan macam biasa (minum arak), kita tidak boleh buat apa-apa kerana tempat yang menjual arak sudah sedia ada memiliki lesen.

“Tetapi untuk Oktoberfest kena ada lesen lain. Setakat ini, kita memang tiada keluarkan sebarang lesen untuk penganjuran pesta itu,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Karnival Hari Kantin 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tampoi, di sini hari ini.

Pada masa sama, Osman berkata pesta berkenaan bukan budaya Malaysia dan seharusnya tidak dicontohi oleh mana-mana pihak termasuk bukan Islam di negara ini.

“Ini budaya Jerman, jadi kenapa kita nak terikut-ikut budaya ini yang boleh mendatangkan kemudaratan. Jadi, tak perlulah kita contohi perkara tidak baik demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat,” tegasnya.

Sementara itu, Osman berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat tentang beberapa akaun Facebook yang didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan provokasi selain menyebarkan berita palsu mengenai beliau selaku menteri besar.

“Armada Bersatu telah buat laporan polis mengenai perkara itu, jadi kita serahkan kepada polis kerana tidak mahu menganggu siasatan,” katanya.

Pada 12 Okt lepas, Ketua Armada Kota Tinggi Shaiful Rizal Mohd Salleh membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru Sentral di sini, terhadap beberapa akaun di laman sosial tersebut.

Antara kandungan laman sosial berkenaan ialah ‘Menteri Besar Johor Pengkhianat Orang Kampung’ selain menuduh Menteri Besar Johor mengamalkan politik dendam sehingga membantutkan pembangunan rohani dan jasmani dengan kenyataan “Johor tidak perlukan pembangunan rohani dan jasmani termasuk penggerak masjid dan surau”.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan