Polis masih berusaha mengesan mayat bayi lelaki yang ditanam seorang lelaki di kawasan tanah perkuburan di Bagan Dalam, dekat sini dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM – Polis masih berusaha mengesan mayat bayi lelaki yang ditanam seorang lelaki di kawasan tanah perkuburan di Bagan Dalam, dekat sini dalam kejadian awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 23 tahun mengaku mayat bayi teman wanitanya itu ditanam di tanah perkuburan berkenaan, namun pasukan polis bersama bahagian forensik tidak menemui sebarang kesan kubur baharu di situ.

“Kami telah beberapa kali menyoal lelaki itu untuk mengetahui lokasi sebenar mayat bayi berkenaan ditanam dan dia mendakwa memang menanam (bayi) di kawasan tanah perkuburan itu tetapi tidak ingat lokasi sebenar,” kata Nik Ros Azhan di sini hari ini.

Beliau berkata polis akan meneruskan usaha mengesan dan mencari mayat bayi itu dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut.

Nik Ros Azhan berkata lelaki yang bekerja di sebuah hotel di George Town itu kini direman sehingga Rabu ini (17 Okt) ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Seorang wanita dilapor melahirkan bayi di rumah teman lelakinya di Kampung Pertama, Permatang Pauh di sini pada Jumaat (12 Okt), namun bayi yang dikatakan telah meninggal dunia itu dilaporkan ditanam lelaki berkenaan di kawasan tanah perkuburan di Bagan Dalam.

Berdasarkan siasatan, wanita itu mendakwa dia melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat itu ketika kandungannya berusia lima hingga enam bulan, awal pagi Jumaat, sebelum membalut mayat bayi tersebut dengan kain pelekat dan menanamnya.

Doktor yang merawat wanita berusia 22 tahun itu mengesahkan terdapat kesan luka bersalin dan rahimnya juga kembang kesan daripada bersalin dan dia masih menerima rawatan lanjut di Hospital Seberang Jaya.

— BERNAMA