KUALA LUMPUR – Hujan lebat lebih dua jam yang melanda ibu negara hari ini mengakibatkan beberapa kawasan dan laluan terjejas akibat dilanda banjir kilat.

Hujan lebat yang bermula kira-kira 3.30 petang itu mengakibatkan air bertakung di Persiaran Ampang Hilir, Jalan Raja Chulan dan Bulatan Pahang di Jalan Tun Razak.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata empat kawasan mengalami banjir kilat iaitu di Jalan Datuk Keramat, Kampung Baru, Taman Eastern dan Kampung Chubadak, Sentul.

Katanya Skuad Penyelamat DBKL telah melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas.

“Terdapat kawasan yang dinaiki air hampir setengah meter namun keadaan masih terkawal dan beransur pulih,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga berita ini ditulis, banjir di kawasan berkenaan telah beransur-ansur surut.

Selain itu, Azman berkata pihaknya turut menerima satu laporan kejadian pokok tumbang di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Kerja pembersihan dilakukan oleh Unit Pohon Rendang dengan dibantu anggota Skuad Penyelamat DBKL,” katanya.- BERNAMA