Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Sebuah Jawatankuasa Siasatan Khas telah ditubuhkan pada 24 September lalu bagi melengkapkan maklumat siasatan awal oleh Badan Siasatan Bebas berhubung dakwaan salah laku seksual oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bagi mempertimbangkan tindakan tatatertib ke atas ketua jabatan berkenaan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Badan Siasatan Bebas yang ditubuhkan sebelum ini bertujuan untuk mengesahkan dakwaan salah laku seksual seperti yang dilaporkan di dalam sebuah akhbar tempatan pada 29 Julai 2018.

“Selain itu ia untuk mengenal pasti tahap keseriusan laporan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Julai lalu, sebuah media tempatan melaporkan doktor pelatih didakwa menjadi mangsa seksual seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Dr Dzulkefly kemudian meminta mangsa terus menghantar e-mel kepadanya, dan satu jawatankuasa antara kementeriannya dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditubuh bagi meneliti perkara tersebut.

Zulkefly berkata, pihaknya memberi tempoh sebulan kepada jawatankuasa itu untuk melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil terhadap pelaku.

“Jawatankuasa Siasatan Khas ini diberikan tempoh dari 24 September hingga 23 Oktober ini untuk melengkapkan siasatan.

“Kemudian laporan lengkap akan dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangan pihak berkuasa berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette