Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas minta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan satu kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan kerajaan Persekutuan sebelum pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November ini.

Kertas putih itu penting untuk menyelaras kedudukan kewangan negara berikutan terdapat beberapa kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Guan Eng dan pemimpin yang lain.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, Menteri Kewangan dalam satu kenyataan semalam memberitahu kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan akaun wang tunai berjumlah RM450 juta pada 30 April 2018.

Katanya, Guan Eng turut mendakwa akaun hasil disatukan telah susut mendadak sebanyak 96 peratus daripada jumlah asal iaitu RM11.86 bilion pada akhir 2017.

“Penyusutan perbelanjaan mendadak perlu diperincikan supaya rakyat mengetahui apakah objek perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut Nasrudin, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga telah membuat kenyataan mengenai hutang kerajaan Persekutuan dalam satu program di Universiti Malaya (UM) pada Sabtu.

Jelas beliau, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan oleh Guan Eng sebelum ini.

“Kerajaan Persekutuan dikatakan telah menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece.

“Kenyataan (Menteri Pertahanan) ini amat serius. Walhal, jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017.

“Jawapan yang diberikan selaras dengan laporan Penyata Kewangan kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia,” katanya.

Kata Nasrudin, sekiranya nilai sebenar hutang kerajaan Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, semua angka yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah palsu.

Oleh itu, tegasnya, bagi menangani kecelaruan itu, Menteri Kewangan mesti mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan pemimpin negara dimanipulasi.

“Ia bukan perkara yang remeh, sebaliknya boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette