Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memuji parti itu yang berjaya meningkatkan jumlah undi dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober lalu.

Kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, itu satu indikasi positif Pas masih dapat meraih undi menentang calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang dengan memperolehi 31,016 undi.

“Kita gembira PRK itu kerana Pas dapat undi lebih, iaitu meningkat kepada 7,000 dalam masa kita bersendirian (tanpa pakatan).

“Walaupun tujuh penjuru, undi meningkat untuk Pas kali ini berbanding sebelum ini (PRU14),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Pas memperolehi sebanyak 7,456 undi dalam PRK Port Dickson tetapi lima calon bebas yang lain termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hilang wang pertaruhan masing masing.

Dalam PRU14, Pas memperoleh 6,594 undi dan ketika itu hanya tiga calon yang bertanding iaitu PKR, MIC dan Pas.

Menurut Abdul Hadi,  Pas akan melakukan bedah siasat mengenai prestasi parti itu pada PRK tersebut seawal yang mungkin.

“Apa yang penting ialah post mortem (bedah siasat) PRK Port Dickson, supaya kita akan tahu undi kita di masa akan datang,” tegasnya lagi.

Anwar berjaya memperolehi majoriti 23, 560 undi sekaligus memadamkan majoriti yang diterima bekas penyandang kerusi itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRK-14) 9 Mei lalu.

Hari ini Anwar secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dalam upacara di Dewan Rakyat di hadapan Yang DiPertuanya, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. – MalaysiaGazette