Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassn bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim menuju ke Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah kembali ke Dewan Rakyat dapat melaksanakan janji reformasi Parlimen secara berkesan demi martabatkan imej institusi itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian selepas menyaksikan Ketua Umum PKR itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di hadapan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pagi ini.

“Saya bangga menerima Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim kembali semula ke Parlimen sebagai anggota Pakatan Harapan.

“Pastinya ini detik bersejarah dalam politik Parlimen Malaysia…harap dia dapat memainkan peranan sebagaimana yang dijanjikan iaitu gerakan reformasi Parlimen.

“Ini satu perkara yang dipersetujui dan dimasukkan dalam manifeso Pakatan Harapan kali pertama sertai sidang Dewan Rakyat.

“Jika Anwar dapat melaksanakannya, institusi Parlimen akan dimuliakan dan rakyat akan yakin segala diputuskan dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Beliau menyatakan keyakinan anggota Parlimen PH yang lain bersedia membantu mendukung segala aspirasi Anwar untuk mereformasikan Parlimen sebagai langkah penambahbaikan. – MalaysiaGazette