Nazrin Hassan
Kenderaan yang dipercayai membawa jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang akan dikembuikan semula di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. foto AFIQ RAZALI, 15 OKTOBER 2018.

PETALING JAYA – Selepas tujuh hari menjalankan bedah siasat terhadap mayat bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, polis hari ini mengkebumikan semula mayat Allahyarham.

Mayat Nazrin dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam MBPJ, Kota Damansara pukul 11.45 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 11.36 minit pagi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan diiringi dua unit motosikal trafik dan beberapa kenderaan polis.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, polis tidak membenarkan orang awam masuk ke tanah perkuburan itu kecuali pihak yang terlibat menguruskan pengebumian Allahyarham.

Sehingga berita ini ditulis urusan pengebumian masih lagi berjalan.

Pada 3 Ogos lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas yang pada mulanya dilaporkan berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

Polis menggali semula kubur Allahyarham pada 8 Oktober lalu selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk berbuat demikian bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan berhubung kes bunuh mangsa itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan