Gambar Hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun data rasmi ketidaksamaan pendapatan menunjukkan pengurangan, jurang pendapatan sebenar di antara 20 peratus golongan kaya (T20) berbanding rakyat biasa menghampiri dua kali ganda, sekali gus menjadikan lebih ramai rakyat Malaysia miskin.

Dengan itu, Khazanah Research Institute (KRI) meminta kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada pekali Gini (yang mewakili perbezaan pendapatan relatif) selain menggesa pembuat dasar supaya mencari langkah-langkah untuk mengatasi jurang pendapatan sebenar.

Paras Gini Malaysia jatuh daripada 0.513 pada 1970 kepada 0.399 pada 2016.

Gini kosong bermakna setiap individu mempunyai pendapatan yang sama.

“Apa yang membimbangkan, bagi isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000, baki pendapatan selepas inflasi hanyalah RM76 pada 2016 sedangkan pada 2014 ia berjumlah RM124.

“Keadaan ini pastinya lebih teruk sekiranya berlaku kejutan kewangan,” kata pasukan pemikir itu dalam satu laporan yang diterbitkan hari ini.

Tambah kumpulan pemikir milik Khazanah Nasional Bhd. itu, sejak dua dekad lalu, perbezaan pendapatan isi rumah sebenar yang diselaraskan dengan inflasi menunjukkan jurang hampir dua kali ganda di antara golongan kaya (T20) berbanding 40 peratus isi rumah berpendapatan sederhana dan miskin (M40 dan B40).

“Walaupun kerajaan berbangga berjaya menghapuskan kemiskinan tegar, kemiskinan relatif (yang bermakna pendapatan kurang 60 peratus daripada median pendapatan) telah meningkat melebihi 50 peratus kepada tiga juta isi rumah sejak 1995.

“Ini bermakna 40 peratus daripada 7.5 juta isi rumah Malaysia adalah miskin relatif,” katanya.

Purata pendapatan isi rumah T20 meningkat dari RM9,000 kepada RM16,000 pada 1995 sehingga 2016 sedangkan pendapatan M40 berkembang sekitar RM3,000 kepada RM6,000 sahaja manakala B40 pula naik dari RM1,000 kepada RM2,000.

Ini bermakna peningkatan jurang pendapatan di antara T20 dengan M40 selepas penyelerasan inflasi adalah kira-kira RM10,000 ketika ini berbanding RM6,000 pada 1995.

Jurang pendapatan golongan kaya dengan B40 pula meningkat kepada RM14,000 selepas penyelerasan inflasi.

Pada 2016, kajian KRI menunjukkan isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan menggunakan 94.8 peratus daripada pendapatan mereka untuk berbelanja manakala keluarga berpendapatan melebihi RM15,000 hanya menggunakan 45 peratus daripada pendapatan mereka untuk berbelanja.-MalaysiaGazette