Sebahagian artis yang bakal menghiburkan pada KL Rhythm Nitez.
Sebahagian artis yang bakal menghiburkan pada KL Rhythm Nitez.

KUALA LUMPUR – Konsert percuma di bawah program KL Rhythm Nitez bertujuan mengaktifkan kembali Panggung Anniversari sebagai pentas hiburan popular sekitar 1970-an hingga 1990-an.

Konsert itu anjuran Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Ia akan diadakan pada 20 Oktober ini di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

“Konsert itu adalah merupakan gabungan persembahan artis lama yang popular satu masa dahulu dan juga barisan artis yang sedang mencipta nama pada masa kini,” kata satu kenyataan hari ini.

Bersesuaian dengan tema iaitu Konsert Suara Anak Malaysia, seramai lapan orang artis lelaki dan wanita dari pelbagai kaum dengan pelbagai genre seperti pop, rock dan balada akan mengadakan persembahan pada konsert tersebut.

Konsert itu akan dihoskan oleh DJ Sonic dan DJ Nadia serta membariskan artis-artis seperti Datuk David Arumugam, Francisca Peter, Siti Nordiana, Syafiq Farhain dan Bagio Damasutra.

Selain itu, Yabang Khalifah, Suki Low dan Santesh juga akan menghiburkan pengunjung.

Lebih menarik lagi, persembahan semua artis ini akan diiringi oleh Orkestra Kuala Lumpur dan juga artis budaya DBKL.

“Kepada wargakota, selain memberi ruang dan peluang kepada artis tempatan membuat persembahan konsert ini diadakan secara percuma dan semua wargakota dan orang ramai dijemput hadir,” kata kenyataan yang sama.

Dijangka, seramai 2,500 orang akan memenuhi Panggung Anniversari bagi menyaksikan persembahan artis-artis tersebut.

Justeru, orang ramai bolehlah mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman media sosial Instagram klcatsevents dan berhubung dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) di talian 03-41055442 atau melalui email [email protected]