Konsert jelajah Mariah Carey In Kuala Lumpur akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam esok.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular antarabangsa, Mariah Carey berkongsi gambarnya yang berlatarkan Menara Berkembar Petronas atau KLCC menerusi laman Instagram miliknya.

Mariah kini dalam rangka persembahan sempena konsert jelajahnya, Mariah Carey In Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam esok.

Dia tiba di ibu negara dua hari lebih awal dan menginap di sebuah hotel dengan diiringi kawalan keselamatan.

“Selamat pagi Kuala Lumpur!” tulis penyanyi yang popular dengan My All dan We Belong Together.

Mariah, 48, kali terakhir membuat persembahan di negara ini pada 2014 turut meluangkan masa melayani mereka bergambar.

Dia baru melancarkan single terbarunya, With You dan sudah memperkenalkan lagu itu pada kemuncak Anugerah Muzik Amerika (AMA), Rabu lalu.

Mariah yang mencipta nama pada 1990 di bawah bimbingan Tommy Mottola melakar sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi pertama meraih juara carta Billboard Hot 100 AS untuk lima lagu berturut-turut.

Namanya juga diangkat majalah Billboard sebagai artis 1990-an paling berjaya di AS.

Antara lagu popular nyanyiannya termasuk One Sweet Day, Always Be My Baby, We Belong Together, My All, Heartbreaker dan Dreamlover. – MalaysiaGazette