Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan digesa membentangkan satu kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan Kerajaan Persekutuan sebelum pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ia bagi menyelaras kedudukan kewangan negara ekoran terdapat beberapa kecelaruan mengenai data dikemukakan beliau dan beberapa pemimpin sebelum ini.

“Menteri Kewangan dalam satu kenyataan kelmarin (13 Oktober) memberitahu kerajaan dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan akaun wang tunai berjumlah RM450 juta pada 30 April 2018.

“Beliau turut mendakwa akaun hasil disatukan telah susut mendadak sebanyak 96 peratus daripada jumlah asal iaitu RM 11.86 bilion pada akhir 2017,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasrudin berkata, penyusutan perbelanjaan mendadak perlu diperincikan supaya rakyat mengetahui bentuk perbelanjaan dan kaedah kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018.

“Menteri Pertahanan Mohamad Sabu juga telah membuat satu kenyataan mengenai hutang Kerajaan Persekutuan dalam satu program di Universiti Malaya kelmarin (Sabtu, 13 Oktober).

“Beliau mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.

“Kerajaan Persekutuan dikatakan telah menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece,” katanya.

Katanya, pendedahan Menteri Pertahanan itu amat serius dan bertentangan dengan jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018.

“Jawapan Menteri Kewangan kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017.

“Jawapan diberikan selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia.

“Sekiranya, nilai sebenar hutang Kerajaan Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah palsu,” katanya.

Tambah beliau, bagi menangani kecelaruan ini, Menteri Kewangan mesti mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan-kenyataan pemimpin negara dimanipulasi.

“Ia bukan perkara yang remeh, sebaliknya boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette