Menteri Pembangunan Usahwan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Pusat Sehenti Keusahawan dan MyPerintis-Revbiz Talk di Bangunan SME Corporation, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2018
Menteri Pembangunan Usahwan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Pusat Sehenti Keusahawan dan MyPerintis-Revbiz Talk di Bangunan SME Corporation, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti pembangkang perlu menyertakan bukti kukuh terhadap dakwaan harga barang tidak turun walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah dimansuhkan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Menteri Pembangunan dan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusuf.

Walaupun sering membangkitkan isu harga barang namun sehingga kini Barisan Nasional (BN) gagal memperincikan jenis barang yang semakin meningkat dan tidak terkawal.

“Di Parlimen tadi, pihak lawan, pembangkang ada menyebut SST menjadi beban kepada rakyat tetapi saya nak ulang lagi, pembangkang ini tidak berjaya mengetengahkan apakah sektor yang harga tidak terkawal, mereka gagal berikan kita jawapan.

“Macam Lim Guan Eng tanya tanya, berikan contoh, kawasan mana,di sektor manakah berlaku kenaikkan harga barang?,” katanya yang mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng dalam Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Kewangan itu terdahulu menegaskan tidak pernah menyebut bahawa SST memberi jaminan harga barang akan turun.

Dalam pada itu Redzuan berharap pembentangan Bajet 2019 akan memberi perhatian kepada Kementerian Pembangunan Usahawan yang berperanan penting bukan sahaja memudahcara, mengawal selia agensi malah memastikan peruntukan dapat membantu usahawan.

“Harapan saya tinggi, kita punya tanggungjawab mencabar dan berat kita antara kementerian yang memegang tanggungjawab, memudahcara, mengawal selia agensi, kita memang mempunyai cabaran, memastikan apa sahaja bentuk bajet memberi ruang kepada usahawan.

“Apa sahaja ia terpulang kepada jemaah menteri, untuk memastikan kita satu badan yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kita akan beri tumpuan lebih untuk jawab persoalan dari segi segala bentuk persoalan berkaitan usahawan,” ujar beliau.-MalaysiaGazette