KUALA LUMPUR – Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menempelek pemimpin partinya yang dilihat begitu taksub dalam menerima anugerah kebesaran disifatkan sebagai ‘drama Bollywood’.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat, Guan Eng sebenarnya mmepunyai pilihan untuk menegur ahlinya secara senyap dengan mengeluarkan memo berhubung perkara itu.

Namun dakwa Tengku Putra, Guan Eng yang juga merupakan Menteri Kewangan sengaja membiarkan ahlinya menerima anugerah tersebut secara terbuka menggunakan isu itu untuk kepentingan politiknya.

“Bagaikan seorang dramatis Yang Berhormat Guan Eng cuba mengambil nama untuk partinya dengan menegur ahli secara terbuka kerana menerima darjah darjah tersebut.

Malah tindakan ini sekali gus telah ‘menghina’ pejabat TYT Yang DiPertua Negeri seolah-olah pemberian anugerah telah dibuat secara terburu buru tanpa menimbang tempoh perkhidmatan atau jasa dengan memberikannya kepada yang masih baru.

“Guan Eng sebenarnya boleh sahaja mengeluarkan memo tegas kepada ahli partinya untuk secara senyap dan dengan penghormatan yang tinggi menolak tawaran oleh pemerintah tertinggi di mana-mana Negeri dalam keadaan sedemikian.

“Sebaliknya, beliau membiarkan mereka menjalani segala proses tersebut supaya kemudiannya dapat beliau menegur secara terbuka dan secara tidak langsung menyentuh keputusan pejabat tertinggi negeri itu.Seni lakonan sangat tinggi dan hebat” katanya.

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas ucapan ‘pedas’ Guan Eng pada Konvensyen DAP Perak di hadapan 1,303 perwakilan.

Kata Guan Eng, tindakan menerima darjah kebesaran tersebut tidak mencerminkan semangat perjuangan sebenar parti itu, sekali gus akan memberikan persepsi lain kepada rakyat kerana parti itu tidak sampai setahun menjadi kerajaan di negara ini.

“Saya tidak mahu apa yang saya sebutkan ini sebagai tanda tidak hormat kepada mana-mana kerajaan negeri (yang mengurniakan darjah kebesaran) tetapi kenapa pemimpin kita perlu terima pada tahun pertama (mentadbir), tunjukkan prestasi berkhidmat untuk rakyat terlebih dahulu.

“… kalau ini menyinggung mana-mana pihak di luar parti saya minta maaf kerana saya rasa ini amat penting kerana DAP tidak pernah kejar jawatan,” katanya.

Tambah Tengku Putra, tindakan Guan Eng mempergunakan Almarhum Tun Ghafar Baba sebenarnya untuk ‘membeli’ jiwa orang Melayu untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Daripada sengaja menggunakan nama Almarhum Tun Ghafar Baba mengapa tidak beliau gunakan sahaja nama seperti mendiang Karpal Singh atau bapanya, Lim Kit Siang yang telah bergelumang dalam politik berpuluh-puluh tahun tanpa terima apa-apa anugerah?

“Semua ini untuk beli dan tunjuk kepada masyarakat Melayu betapa hebatnya beliau sendiri,” tegasnya.

Semalam, dua wakil rakyat DAP Melaka iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan ADUN Bemban, Wong Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk bersempena sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Minggu lepas, dua menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk bersempena ulang tahun ke-65 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin – Malaysia Gazette