Dr Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

PETALING JAYA – Penetapan warna stoking pelajar sekolah akan diputuskan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Kementerian akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya selepas mencapai persetujuan bersama dengan pihak yang berkaitan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera Datuk Ameer Ali Mydin semalam yang mahu kementerian memberi penjelasan sama ada warna stoking putih oleh pelajar sekolah terlibat akan turut ditukar kepada warna hitam selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam kelak.

Sabtu lepas, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata pelaksa­naan pemakaian kasut hitam di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2021.

Sementara itu, mengenai lawatannya ke PPUM, Maszlee berkata kualiti perkhidmatan perubatan PPUM kepada masyarakat adalah baik dan ia tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar di hospital pengajar universiti (HPU).-BERNAMA