Nazrin
Seorang petugas Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara menyelesaikan proses pengebumian semula jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrim Hassan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. foto AFIQ RAZALI, 15 OKTOBER 2018.

PETALING JAYA – Urusan pengebumian semula jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, di Tanah Perkuburan Islam MBPJ, Kota Damansara di sini selesai kira-kira pukul 12.45 tengahari tadi.

Urusan pengebumian semula Allahyarham mengambil masa selama satu jam.

Beberapa individu yang merupakan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang terlibat dalam urusan pengebumian semula itu dilihat beredar meninggalkan kawasan perkuburan.

Turut dilihat beredar beberapa individu dipercayai ahli keluarga sebelah Allahyaraham yang hadir bagi menyaksikan upacara pengebumian semula jenazah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC, Fadzil Ahmat ketika dihubungi berkata, polis kini sedang menunggu laporan bedah siasat daripada pihak Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, menerusi laporan yang akan diterima itu, pihaknya akan menentukan tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap kes tersebut.

“Sekarang ini kita cuma menunggu laporan Patologi dari pihak PPUM untuk menentukan kes ini.

“Kita pasti laporan akan diterima dalam masa terdekat,” ujarnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan Islam tersebut dengan menaiki van jenazah milik JAIS pada pukul 11.36 minit pagi dari PPUM dengan diringi beberapa anggota polis.

Polis tidak membenarkan orang awam masuk ke tanah perkuburan tersebut kecuali pihak yang menguruskan pengebumian Allahyarham dan kawasan tersebut dibuka semula sejurus urusan pengebumian selesai.

Pada 3 Ogos lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas yang pada mulanya dilaporkan berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

Polis menggali semula kubur Allahyarham pada 8 Oktober lalu selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk berbuat demikian bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh mangsa itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan