Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan isu semasa di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 SEPTEMBER 2018.
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan beliau tidak pernah sesekali menyebut harga barang atau kos sara hidup akan turun seandainya kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan (PH) itu mencabar wakil rakyat pembangkang supaya memberi ‘bukti’ kononnya beliau telah memberi jaminan sedemikian sebelum dan semasa pelaksanaan cukai itu.

Jelas Guan Eng, sekiranya tidak mempunyai sebarang bukti bagi mengukuhkan dakwaan serta tomahan mereka, beliau memohon pembangkang supaya berdiam diri.

“Tolong tunjuk bukti bila saya sebut kos sara hidup atau harga barangan akan turun jika kita laksanakan SST sebelum ini. Tunjuk bukti dulu. Baru cakap. Jika tidak, lebih baik berhenti cakap atau berterusan sebar fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Tambah Guan Eng, jelas sekali tohmahan serta fitnah yang disebarkan terutamanya terhadap kerajaan baharu sebenarnya tidak boleh digunapakai apatah lagi selepas kejayaan besar PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Sabtu lepas.

Sementara itu, Guan Eng meminta Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) yang  bertanya tentang cukai baharu yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan dengan hasrat bagi menjana pendapatan tambahan kepada negara bersabar menunggu selama dua minggu untuk mendapat jawapan.

“Kita akan dedahkan tentang cukai baharu itu ketika Belanjawan 2019 dalam dua minggu lagi, saya minta Bera tunggu dua minggu lagi sama seperti rakyat kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan