KUALA LUMPUR – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindhu (Hindraf) mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kemenangan besar pada Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Sabtu lepas.

Pengerusinya, Senator P. Waytha Moorthy berkata, kemenangan Anwar sebenarnya manifestasi kepercayaan para pengundi di Port Dickson dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Waytha Moorthy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, agenda pembaharuan Malaysia Baharu seperti dikehendaki rakyat juga merupakan agenda didukung oleh Anwar.

“Rakyat di Port Dickson sudah membuat keputusan, kemenangan besar yang diraih oleh Anwar sebenarnya isyarat yang amat jelas mandat rakyat adalah untuk kerajaan Pakatan Harapan.

“Kemenangan Anwar sebenarnya satu kelangsungan kejayaan 9 Mei lepas kerana rakyat mahu melihat Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membawa agenda perubahan yang rakyat mahukan, kita ucapkan setinggi-tinggi kepada beliau,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri ke-8 memperoleh majoriti yang lebih besar iaitu 23,560 undi berbanding 17,710 undi yang dicatatkan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Ba­lagopal Abdullah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Waytha Moorthy menambah, keputusan pilihan raya ini juga adalah perkembangan baik dalam usaha membina sebuah negara yang adil, saksama, telus serta bebas rasuah.

“Kita telah perjuangkan sebuah negara yang bebas rasuah, telus, amanah, adil dan sebagainya. Kini, isyarat jelas sekali melalui kemenangan di PRK Port Dickson, rakyat mahu kita teruskan agenda Malaysia Baharu,” ujarnya. – MalaysiaGazette