KUALA LUMPUR – AirAsia telah dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik pada Anugerah Pilihan Pembaca Travel Weekly Asia tahun ini, buat kali kedua.

Syarikat penerbangan itu dipilih sebagai yang terbaik dalam kategorinya oleh pembaca Travel Weekly Asia, yang terdiri daripada para profesional dalam industri pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Dendy Kurniawan mewakili AirAsia untuk menerima anugerah tersebut pada majlis yang diadakan di Mandarin Orchard Singapura semalam.

AirAsia telah merangkul beberapa anugerah pada tahun ini yang mengiktiraf pelbagai pencapaian daripada transformasi digital kepada pengalaman pelanggan dan meraih salah satu anugerah terbesar di dalam industri penerbangan pada bulan Julai iaitu Anugerah Skytrax untuk Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Anugerah Pilihan Pembaca Travel Weekly kali keempat itu diadakan di Asia yang diadaptasi daripada anugerah di Amerika Syarikat yang telah berlangsung selama satu dekad.

Anugerah Pilihan Pembaca Travel Weekly Asia akan disampaikan pada setiap tahun kepada peneraju industri sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan perkhidmatan dan produk mereka, yang diundi oleh para pembaca majalah tersebut. – MalaysiaGazette