Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih kekal relevan.

Lantaran itu, dasar-dasar baharu yang lebih strategik bersesuaian dengan keperluan semasa akan terus diperkasakan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan juga berpendirian masih terdapat ruang yang boleh ditambah baik terutama melibatkan kepentingan Bumiputera serta kaum-kaum lain di Malaysia supaya proses pelaksanaannya lebih telus dan bertanggungjawab.

“Sebagai kerajaan yang peduli rakyat, pengagihan ekonomi mestilah dilakukan secara adil kepada semua rakyat mengikut keperluan masing-masing.

“Dalam langkah kerajaan untuk meneliti semula dasar-dasar utama negara, pembangunan sosioekonomi Bumiputera akan tetap menjadi agenda penting tanpa meminggirkan kaum-kaum lain di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan Awang Hashim (Pas-Pendang).

Beliau bertanya apakah DEB akan diteruskan dan perancangan mikro dan makro untuk menggerakkan ekonomi Bumiputera termasuk orang asal, Bumiputera Sabah dan
Sarawak selain daripada Kongres Bumiputera.

Tambah Azmin, usaha berkaitan akan diteruskan khususnya untuk membangunkan potensi Bumiputera bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi negara dan seterusnya mencapai matlamat pengagihan kekayaan yang lebih saksama.

Mengenai perancangan mikro dan makro untuk menggerakkan ekonomi, ia akan diterjemahkan pada sesi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) oleh Perdana Menteri pada hari Khamis ini. – MalaysiaGazette