Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata, ada pembunuh kejam di sebalik kehilangan wartawan terkemuka Jamal Khashoggi di Turki.

Beliau yang bercakap dengan Raja Salman menerusi telefon berkata, pemimpin Arab Saudi menegaskan bahawa negara itu tidak mengetahui apa yang tela berlaku kepada Khashoggi.

Trump menggambarkan penafian yang ‘sangat, sangat kuat’ oleh Raja Salman.

“Penafian itu seolah-olah mungkin ada pembunuh kejam. Siapa tahu?,” katanya sambil tidak mengulas lanjut.

Trump memaklumkan Setiausaha Negara, Mika Pompeo telah ke Arab Saudi.

Sementara itu, polis Turki telah, buat kali pertama memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi, di mana Khashoggi kali terakhir kelihatan.

Polis Turki dibenarkan memasuki bangunan itu selepas kumpulan rasmi pegawai Arab Saudi memasuki bangunan terbabit.

Pegawai Turki percaya wartawan itu telah dibunuh dalam bangunan tersebut oleh agen-agen Arab Saudi hampir dua minggu lalu.

Tetapi dakwaan itu dinafikan oleh Riyadh.

Bagaimanapun, laporan yang tidak disahkan di media Amerika Syarikat berkata, Arab Saudi sedang bersedia untuk mengakui bahawa Khashoggi telah meninggal ketika sedang dalam siasatan secara salah dan pada asalnya mahu menculik wartawan tersebut.

Sementara itu, Al-Jazeera memetik pejabat peguam Turki sebagai berkata, ia telah menemui bukti untuk menyokong dakwaan bahawa Khashoggi terbunuh dalam misi itu.

Isu ini telah melemahkan hubungan Arab Saudi dengan sekutu Barat terdekatnya.

Sumber memberitahu BBC bahawa pihak berkuasa Turki telah menerima bukti audio dan video membuktikan Khashoggi telah dibunuh dalam bangunan tersebut. – MalaysiaGazette