Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap ketika sesi sidang media sambil diiringi Menteri Besar Johor, Osman Sapian (kiri) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2018
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap ketika sesi sidang media sambil diiringi Menteri Besar Johor, Osman Sapian (kiri) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan calon Timbalan Presiden Rafizi Ramli tentang politik wang yang berleluasa dalam pemilihan parti itu.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dakwaan itu baru diketahui beliau setelah ditanya media hari ini.

“Kita akan siasat (dakwaan Rafizi), JPP yang akan siasat (dakwaan itu)

“Awak (wartawan) dah tanya, sekarang baru saya tahu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Awal hari ini Rafizi yang merupakan naib presiden PKR mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

“Ada perkara yang buat saya tidak tidur lena (selepas melalui pemilihan di enam negeri). Minggu depan (Sabtu ini), saudara-saudara akan bersaing dalam peringkat cabang dalam satu suasana yang tidak pernah kita tengok… dengan wang bertaburan di bawah.

“Anda akan berhadapan saingan peringkat cabang yang ada (pihak) sumbangkan wang (kepada) satu cabang RM100,000, RM200,000 untuk berdepan saudara-saudari.

“Ada tempat di negeri lain yang (pemilih) ditawarkan satu undi RM100. Saya sebut awal-awal supaya anda semua jangan terkejut.

“Sebab itu (ada pihak) buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). (Ada yang tawarkan) undi akan dapat projek,” dakwanya memetik laporan Berita Harian Online hari ini.

Rafizi menentang penyandang kerusi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada pemilihan parti itu.

Azmin mula meluaskan jarak dalam rebutan jawatan itu apabila memperoleh perbezaan undi sebanyak 777 pada minggu pertama Pemilihan PKR di Selangor semalam.

Berdasarkan laman sesawang www.pemilihankeadilan2018.com itu, Mohamed Azmin kini memperoleh 28,920 undi, manakala Mohd Rafizi mendapat 28,143 undi termasuk undi yang diperoleh pada pemilihan minggu pertama di Selangor. -MalaysiaGazette

Politik wang semakin membimbangkan – Rafizi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast