Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan kesedaran berhubung kesan buruk terhadap penggunaan plastik.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, bagi tujuan itu kementeriannya akan menganjurkan satu kempen kesedaran.

Katanya, kempen tersebut akan dijalankan dalam tempoh dua minggu dengan matlamat memberi pendedahan mengurangkan penggunaan plastik di Malaysia.

“Kerajaan komited untuk mengurangkan sisa plastik. Kami tidak akan membenarkan Malaysia menjadi tempat lambakan bagi sisa plastik yang tidak diingini,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan, Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang bertanya adakah insentif bagi NGO atau individu yang bergotong-royong bersihkan plastik dan polisterin tercemar.

Bee Yin berkata, jawatankuasa menteri bersama terdiri daripada kementerian, perumahan dan kerajaan tempatan serta perdagangan dan industri antarabangsa juga telah diwujudkan bagi tujuan itu.

Katanya, Malaysia juga sedang berusaha ke arah menjadi hab kitar semula berikutan larangan China mengimport barangan berasaskan plastik. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan