Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dinasihatkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang supaya berhenti bercakap tentang kasut dan stokin atau berdepan dengan bahaya ‘perangkap’ UMNO.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri, kenyataan Maszlee berhubung warna kasut dan juga warna stokin sebenarnya akan menjadi alat kepada UMNO khasnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk terus mengkritik serta dimalukan pada hari-hari mendatang.

“Saya nasihatkan Maszlee jangan bercakap tentang isu remeh temeh sehingga jatuh perangkap Najib atau pencacai UMNO yang sebenarnya hanya berniat untuk ‘mengecilkan’ kemampuan beliau sebagai Menteri Pendidikan.

“Maszlee sepatutnya cepat belajar bagaimana hendak membuktikan bahawa beliau seorang Menteri Pendidikan yang lebih baik daripada Najib yang pernah memegang portfolio itu antara tahun 1995 hingga tahun 2000.

“Sebenarnya Najib hanya mahu mengalihkan perhatian umum tentang skandal terbesar 1MDB dengan bercakap tentang perkara-perkara seperti ini termasuk apa yang berlaku dengan Maszlee,” katanya dalam laman blog beliau hari ini.

Tambah Kit Siang, kritikan yang dilemparkan kearah Maszlee oleh Najib sebenarnya tidak adil sebaliknya meminta Ahli Parlimen Simpang Renggam supaya belajar kaedah komunikasi moden dengan cepat.

“Maszlee sepatutnya cepat belajar dan tumpu perhatian untuk menjadi Menteri Pendidikan yang jauh lebih baik daripada Najib pada masa hadapan,” tegasnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Semalam,  Najib dalam laman Facebook beliau berseloroh mengkritik kenyataan-kenyataan Maszlee berkait dengan warna kasut dan stokin yang dalam perbincangan.

“Menteri Pendidikan kita berpandangan jauh. Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia. Warna kasut dan stoking sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna.

“Sayang sekali menteri-menteri BN dulu tidak buat kajian sedemikian. Seterusnya, diharapkan menteri akan kaji warna baju, warna bangunan sekolah juga.

“Insya-Allah anak-anak kita akan mendapat manfaat sepenuhnya dan berjaya di masa depan,” selorohny lagi.

Status itu mendapat perhatian umum termasuk media yang turut mempersoalkan kepentingan dan fokus Maszlee dalam Kementerian Pendidikan.

Namun demikian, hari ini, Maszlee menjawab dengan mengkritik media dan Najib kerana terlalu cepat mensensasikan perkara remeh selain mengabaikan isu lebih penting diusahakan kementerian.

Menerusi akaun Twitternya beliau berkata: “Saya cakap perkara trivial kurang satu minit @UMonline sensasikan, DS @NajibRazak pun berminat.

“Saya bincang perkara penting, hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?” ujarnya. – MalaysiaGazette

Dr. Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik