Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. foto IQBAL BASRI, 04 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini. 

Beliau dikatakan tiba pada jam 10 pagi tadi namun tidak melalui pintu depan ibu pejabat suruhanjaya itu.

Menurut sumber, SPRM akan mengeluarkan kenyataan pada petang nanti. 

Kali terakhir Najib dipanggil memberi keterangan pada 19 September yang lalu sebelum ditahan dan kemudiannya didakwa.

Untuk rekod, pada 4 Julai lepas beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap empat pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Pada 20 Sept pula, bekas perrdana menteri didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Ini menjadikan jumlah pertuduhan yang dihadapinya ialah 32.-MalaysiaGazette