Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media berkenaan pemandu teksi akan mengadakan himpunan besar-besaran berikutan isu kenyataan Tony Pua berkaitan Grab di Wisma Central Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 16 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR –  Syarikat pengendali teksi Big Blue Capital Sdn Bhd mencabar Tony Pua menemui lebih 3,000 pemandu teksi dalam satu perhimpunan besar-besaran di hadapan Kementerian Kewangan, Putrajaya, 9 pagi esok.

Penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu perlu tampil dan menyelesaikan kemelut ribuan pemandu teksi yang kehilangan pendapatan selepas kemasukan e-hailing khususnya Grab.

“Buat pertama kali dalam industri teksi saya akan turun demo pemandu teksi besar-besaran di Putrajaya, esok.

“Sebelum ini saya dihubungi pihak polis dan saya tetap berdiri (demo) membela nasib pemandu teksi.

“Saya berharap Tony Pua berdepan dengan saya untuk selesaikan kemelut pemandu teksi di negara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Central, di sini, hari ini.

Shamsubahrin juga menegaskan, sekiranya Tony Pua enggan menemuinya bersama ribuan pemandu teksi esok, beliau tidak teragak-agak akan membuat demostrasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

“Sekiranya Tony Pua tidak turun padang, kita akan buat demo kedua di KLIA di mana semua pemandu tidak akan memandu teksi pada hari kejadian.

“Kalau Tony Pua tidak turun padang lagi, ribuan pemandu teksi akan berhimpun di rumahnya sebab beliau bertanggungjawab berunding dengan Grab.

“Saya tak boleh berdiam lagi sebab ramai pemandu teksi berjumpa dengan saya,” katanya.

Katanya, tindakan pemandu teksi itu bukan satu bantahan mahupun ugutan terhadap kerajaan, sebaliknya beliau mahu satu perbincangan diadakan untuk mencari jalan keluar daripada kemelut tersebut.

“Kita bukan nak bantah dan ugut kerajaan, kita ingin berbincang dan kerajaan secara telus melaksanakan secara adil dan saksama mengikut apa yang Tun Dr Mahathir Mohamad (kata) sebelum PRU14 di mana ikut Rules of Law.

“Saya nak Datuk Seri Anwar Ibrahim jawab adalah Grab ini adil dan adakah Tony Pua patut dibuang daripada Kementerian Kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette