Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ke-132 di Perdana Putra di sini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ke-132 di Perdana Putra di sini. foto BERNAMA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ke-132 di Perdana Putra di sini.

Ini merupakan mesyuarat pertama setelah Pakatan Harapan yang dipimpin Dr Mahathir memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, lepas.

Mesyuarat yang bermula 10.30 pagi itu, turut dihadiri beberapa menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Antara menteri besar dan ketua menteri yang hadir ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Pahang, Kelantan dan Terengganu pula dihadiri wakil menteri besar masing-masing.

Menteri kabinet yang turut menyertai mesyuarat itu antaranya ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Mesyuarat kira-kira dua jam itu bertujuan untuk menyelaras semua perkara di bawah bidang kuasa negeri dan persekutuan bagi memastikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan